International | Students | Staff | Alumni

News & Events

UiTM Jalin Kerjasama Dengan Universiti Eropah

UiTM Jalin Kerjasama Dengan Universiti Eropah

SHAH ALAM: Kerjasama yang terjalin antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan beberapa pusat pengajian tinggi di Eropah termasuk di England menjadi sebahagian daripada usaha menyokong matlamat strategik universiti itu melalui Projek Khas Naib Canselor (VCOSP).

Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Roziah Mohd Janor, berkata pembabitan dan kolaborasi antarabangsa antara UiTM dengan universiti antarabangsa serta pemimpin industri akan membantu memenuhi misi strategik UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025.

Beliau berkata, kerjasama dijalin antara Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) UiTM dengan universiti ternama hasil lawatan ke empat negara Eropah baru-baru ini berjaya mengukuhkan universiti terutama dalam pendidikan ekonomi Islam dan kewangan.

"Kita berusaha meningkatkan inovasi dan penyelidikan dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam.

"Lawatan AAGBS berjaya menjalin kerjasama diperlukan dengan beberapa universiti di Eropah seperti yang diharapkan," katanya.

Lawatan AAGBS selama 12 hari bermula 22 Mei hingga 2 Jun lalu itu diketuai Dekan AAGBS, Prof Dr Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad bertujuan membincangkan potensi aktiviti kolaborasi untuk pelajar dan warga akademik fakulti UiTM dan universiti di Eropah termasuk di England.

Delegasi berkenaan turut disertai Timbalan Dekan Industri dan Hubungan Antarabangsa AAGBS, Dr Arlinah Abd Rashid; Penyelaras Komunikasi dan Pengantarabangsaan Korporat, Dr Azlina Hanif bersama Ketua Perhubungan Awam dan Media Komunikasi Korporat UiTM, Azroz Mohd.

Rombongan UiTM itu melawat empat universiti iaitu Universiti Istanbul di Turkiye; Pusat Pengajian Islam di University of Bolton di United Kingdom; Hochschule für Technik (HFT) di Stuttgart, Jerman; Universiti Hradec Králové (UHK) di Republik Czech dan firma seni bina terkenal, WindsorPatania Architect di Cambridge, United Kingdom.

Sementara itu, Syed Jamal berkata, pihaknya secara rasmi sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa universiti sebelum negara dilanda pandemik COVID19, namun semua inisiatif kolaborasi yang dijadualkan terpaksa ditangguhkan.

"Sekarang dengan sempadan negara dibuka kembali, UiTM dapat meneruskan kembali aktiviti MoU yang dirancang dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam merangkumi projek dan kajian penyelidikan kolaboratif serta penerbitan akademik dan ilmiah kolaboratif.

"Ia turut membabitkan pertukaran pelajar siswazah; kakitangan penyelidikan dan pengajaran serta pertukaran penerbitan akademik dan dokumen ilmiah," katanya.

Sumber: Berita Harian Online


Arshad Ayub
Graduate Business School,

Kompleks Al-Farabi, Jalan Ilmu/1,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Contact Us