News & Events

Perkasa Koperasi Bantu Rakyat Hadapi Kenaikan Harga

Perkasa Koperasi Bantu Rakyat Hadapi Kenaikan Harga

Kenaikan gaji penjawat awam diumumkan, memberikan manfaat besar kepada mereka terbabit. Namun, langkah ini juga menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin mencetuskan kenaikan harga barang di pasaran. Dalam konteks ekonomi, kenaikan pendapatan sering diiringi dengan peningkatan harga barang, menjadikan isu ini relevan untuk dibincangkan. Peniaga sering memanfaatkan kenaikan gaji atau kos lain seperti harga minyak sebagai alas an untuk menaikkan harga barang.
 
Ini lebih ketara menjelang musim perayaan, dengan permintaan terhadap barangan tertentu meningkat. Monopoli dan sistem kartel kukuh dalam perniagaan memberi kuasa kepada peniaga besar untuk mengawal harga di pasaran, sering kali menyebabkan pengguna biasa tertekan dengan peningkatan kos. Sebagai alternatif kepada situasi ini, konsep koperasi menawarkan penyelesaian berpotensi.
 
Koperasi dimiliki dan diuruskan ahlinya, beroperasi dengan matlamat memberikan manfaat kepada semua ahli. Melalui prinsip demokrasi, koperasi memastikan setiap ahli mempunyai suara dalam keputusan penting, menjadikannya lebih berfokus kepada kepentingan bersama berbanding keuntungan semata-mata. Dalam konteks kenaikan harga barang, koperasi dapat menawarkan barangan pada harga lebih stabil dan berpatutan dengan membeli secara pukal terus daripada pengeluar.
 
Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pembekal terbabit dalam sistem kartel, tetapi juga membantu menjaga kuasa beli rakyat. Penglibatan dalam koperasi juga menggalakkan sikap tanggungjawab dan etika dalam perbelanjaan, selain memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat. Dengan memperkasakan koperasi, kita dapat membina ekonomi lebih adil dan berdaya tahan, dengan semua pihak dapat menikmati manfaat ekonomi tanpa perlu bergantung kepada segelintir pihak menguasai pasaran.

PROF. MADYA DR. MOHAMAD NIZAM JAAFAR

Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

#aagbs
#UiTM
#BeritaHarian


Arshad Ayub
Graduate Business School,

Kompleks Al-Farabi, Jalan Ilmu/1,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Contact Us