International | Students | Staff | Alumni

News & Events

Naikkan Caj Kepada Mereka Yang Kerap Guna Insurans

Naikkan Caj Kepada Mereka Yang Kerap Guna Insurans

SAYA merujuk kepada berita Kenaikan premium insurans tekan rakyat, ancam sektorgig (Utusan Malaysia, 27 November 2024) yang menimbulkan kebimbangan ramai terutama kenaikan caj perlindungan oleh beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful sehingga 70 peratus bagi perlindungan kesihatan.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan majoriti rakyat tidak mempunyai perlindungan insurans atau takaful, dengan kemampuan kewangan sebagai halangan utama.

 Sekiranya caj perlindungan insurans dan takaful dinaikkan dan dikenakan kepada semua, tanpa mengira kekerapan tuntutan mereka, lebih ramai rakyat akan terlepas daripada perlindungan insurans atau takaful.

Malah, mereka yang sudah mempunyai perlindungan juga berkemungkinan akan menamatkan atau membatalkan polisi mereka.

Saya bersetuju Bank Negara Malaysia (BNM) berkuasa untuk mengawal selia segala keputusan syarikat insurans dan takaful seperti cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin. BNM tidak harus melepaskan tangan dengan alasan ia adalah keputusan yang dibuat oleh syarikat.

Daripada menaikkan premium untuk semua, saya mencadangkan pendekatan yang lebih adil bagi syarikat insurans dan pengendali takaful dengan menaikkan caj hanya untuk mereka yang sering dan kerap membuat tuntutan sahaja dan mengekalkan kadar semasa untuk mereka yang tidak pernah membuat tuntutan.

Cadangan ini adalah setara dengan bagaimana premium ditetapkan semasa seseorang mula mendaftar insurans atau takaful melalui proses penilaian risiko dan premium disesuaikan berdasarkan sama ada mereka dianggap berisiko tinggi atau rendah.

Dengan cara ini, ia lebih adil untuk semua pihak dan membantu pemegang polisi, syarikat insurans dan operator takaful mencari jalan tengah situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak.

Dengan mengenakan kenaikan caj kepada pemegang polisi yang sering membuat tuntutan  perlindungan dan tiada kenaikan untuk mereka yang tidak pernah membuat tuntutan, ia merupakan' satu penyelesaian yang menang-menang.

Pendekatan ini memberi manfaat kepada pemegang polisi yang jarang menggunakan perlindungan kerana mereka akan terus menikmati caj yang lebih rendah. Tambahan pula, penyelesaian ini selari dengan misi setiap syarikat insurans dan takaful yang mahukan produk. Mereka lebih menarik selain berkemampuan untuk melanggan.

Dengan struktur harga yang lebih adil dan berasaskan penggunaan, ia juga memberi insentif kepada pemegang polisi untuk berdisiplin dalam membuat tuntutan, seterusnya membantu syarikat insurans atau operator takaful mengurangkan kos operasi secara keseluruhari. Ini akan menghasilkan pengalaman yang lebih memuaskan bagi semua pihak yang terlibat.

Dengan cara ini, pengguna dan penyedia perkhidmatan perlindungan insurans atau takaful dapat mencapai matlamat Bersama dengan menyediakan perlindungan yang lebih mampan serta efisien dalam jangka panjang, sambil meningkatkan keyakinan mahupun kepuasan pelanggan. Selain itu, sistem ini boleh menggalakkan inovasi dalam produk dan perkhidmatan selain memberi lebih banyak pilihan yang sesuai dengan keperluan individu.


DR. MOHAMMAD FIRDAUS MOHAMMAD HATTA
Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

#aagbs
#UiTM
#UtusanMalaysia


Arshad Ayub
Graduate Business School,

Kompleks Al-Farabi, Jalan Ilmu/1,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Contact Us